Telaga itu luas. Sebentang Ailah di Syam hingga Sanaa' di Yaman. Di tepinya berdiri seorang lelaki, segak, kemas, rambutnya hitam, tersisir rapi. Dia menghadapkan dirinya kepada sekalian hadirin. Dengan wajah berseri-seri, dia memanggil. Merdu suaranya. "Marhabaan ayuhalinsaan! Mari dekat, silakan minum."
Senyumannya lebar sekali, sehingga kelihatan kedutan pada matanya, terserlah putih giginya. Terpancar cahaya. Matanya yang hitam bercelak serta bulu matanya yang melentik berkelip bahagia setiap kali melihat tetamu-tetamu yang berseri-seri kerana wudhuk mereka. Tetapi tidak semua dapat merasa air telaganya. Ada yang dihalau. Dan setiap kali ada yang terhalau, kelihatan rona merah bersama urat biru di antara alis matanya. Dan disetiap kali itu juga dia akan terdiam.
Terdengar suaranya sendu, berbicara penuh rasa cinta, matanya berkaca "Ya Rabbi" rintihnya "Mereka sebahagian dariku. Mereka umatku" Dan ketika itu ada suara menjawab "Engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan sepeninggalanmu!"
Air telaga itu harumnya semerbak kasturi. Rasanya lebih lembut dari susu, lebih manis berbanding madu, dan lebih sejuk dari salji. Dengan air itulah lelaki tersebut memberi minum mereka yang kehausan. Wajahnya berseri-seri setiap kali ada yang menghampiri. Dan dia berduka tiap kali ada yang dihalau pergi.
Itulah telaga Al-Kautsar. Terbentang seluas Ailah di Syam sehingga Sanaa' di Yaman. Lelaki itu, namanya terpuji di langit dan bumi. Muhammad SAW. Dan kita? Adakah yang terhalau atau yang disambut dengan senyuman?
Kerana kita Rasulullah berjuang, kerana kita Rasulullah pernah menangis. Tetapi sehingga kini, sudah layakkah kita untuk disambut dengan senyuman dari Baginda? Ingatlah, akan ada suara yang menjawab, "Engkau tidak tahu apa yang mereka lakukan sepeninggalanmu!" Mungkinkah 'mereka' itu kita? Nauzubillahi min zalik.
P/S : Diolah dari buku Dalam Dekapan Ukhuwah, Salim A. Fillah.
No comments:
Post a Comment