Rezeki itu milik Allah.
Hari ni balik dari KL. Bawak beg berat memang menyakitkan. Tapi apalah jika dibandingkan dengan kepayahan yang orang lain lalui setiap hari. Baru beban beg dah tak berapa nak mampu digalas, apatah lagi dosa-dosa yang melangit tinggi. Ya Allah. Tak semua orang hidup senang kan? Bersyukur sebab masih mampu membawa beg, jangan mengeluh walaupun berat, sebab ada lagi insan-insan yang hanya mampu membimbit beg plastik di tangan. Mereka hanya mampu melihat dan menyimpan hasrat untuk memiliki beg-beg seperti kita. Mereka juga manusia, mana mungkin tidak terdetik di hati untuk hidup mewah, senang lenang dan bukannya berjalan mengharung terik mentari dengan baju yang entah ada ganti entah tidak.
Seperti selalu, pakcik-pakcik teksi akan menunggu di pintu masuk stesen. Tanpa jemu melaungkan "Teksi2" ataupun "Teksi dik?". Saya hanya membalas dengan senyuman apabila ada pakcik yang bertanya. Dalam hati terdetik rasa kasihan melihat pakcik-pakcik yang telah berusia, tapi masih gigih mencari rezeki halal dengan memandu teksi. Berapa je diaorang dapat sehari kan?
Timbul juga persoalan ni hati "Kenapa bukan anak muda yang berada di tempat mereka?" Bersusah payah mencari rezeki halal, sabar seharian menunggu penumpang yang memerlukan khidmat pemandu. Mungkin kerana anak-anak muda sibuk mencari rezeki di tempat lain. Yela, sekarang orang ramai jadi cikgu, doktor, jurutera. Tak kan nak jadi drebar teksi. Hmm. Bukan bermaksud menghina pemandu-pemandu teksi. Sesungguhnya rezeki itu milik Allah, dan Dia menjadikan asbab-asbab untuk mendatangkan rezeki tersebut kepada kita. Begitu juga memandu teksi. Jadi kenapa anak muda yang menganggur tidak ada usaha untuk mencari rezeki? Apa kamu kira rezeki itu datangnya melayang? Hampirnya bergolek? Apa salahnya jika kalian menjadi pemandu teksi jika tahu diri tidak mampu menceburi profession lain? Yang penting rezekinya halal.
Allah berfirman di dalam surah Hud ayat 6 "...dan tiada satu pun makhluk yang bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya."
Oh, kalau begitu, tak payah bekerja pun tak apa. Rezeki kita dah dijamin. Pasti ada. Tak payah la susah-susah. Hmm, mungkin ada yang berfikiran sedemikian. tetapi ayat-ayat Allah bukan satu.
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka" (13:11)
Lihat. Allah tidak membiarkan kita malas. Allah tidak akan mengubah nasib kita, sekiranya kita sendiri tidak berusaha. Kalau bukan kita yang menyuapkan nasi ke mulut, boleh nasi berjalan berkumpulan dan masuk ke mulut kita dengan sendirinya? Padahal Allah lah yang memberikan kita nasi tersebut. Tapi memasukkan ke mulut siapa? Kita, usaha kita, dengan keizinanNya.
Ada segelintir anak muda yang hanya tahu berseronok. Mungkin ibu bapanya mampu, berada. Mereka tidak perlu gusar. Harta sentiasa ada. Kesenangan hidup terjamin. Tapi lupakah kita, harta benda itu bukan milik ibu ayah kita, rezeki yang disediakan hasil usaha mereka, adanya dengan izin Allah. Lalu Allah berikan satu lagi peringatan buat kita dalam surah Al-Mulk ayat 21.
"Siapakah yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya"
Jika Allah menahan rezekiNya, mampu lagi ke ibu bapa kita memberikan rezeki tersebut kepada kita? Sedangkan rezeki mereka datangnya juga dari Allah.
Apapun, sedikit sebanyak coretan ini hanyalah sekadar peringatan buat diri sendiri dan sesiapa sahaja agar terus berusaha dan berdoa agar dimurahkan rezeki yang halal dan banyak oleh Allah S.W.T. InsyaAllah.
Cerita saya bukan untuk menyatakan bahawa bekerja sebagai pemandu teksi itu sumber rezeki satu-satunya. Cuma Allah menjadikan mereka asbab untuk saya berfikir dan berkongsi. Baik buruk itu datangnya dari Allah, cuma dizahirkan oleh saya sebagai hambaNya. InsyaAllah. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment