Soalan yang mengelirukan saya pada mulanya. Kemudian soalan itu ditukar kepada "Siapa Naqibah awak?"
Oh, itu maksud uhkti. Ceteknya pengetahuan saya. Hmm. Kemudian satu persatu nama disebut dengan bangganya. Saya bersyukur kerana ditemukan dengan insan-insan seperti mereka. Melalui mereka Allah sampaikan ilmu-ilmu bermanfaat buat diri ini. Terima kasih Ya Allah.
Mereka diberi amanah untuk membawa adik-adik. Begitu juga saya. Diberi amanah untuk menjadi Naqibah untuk adik-adik di KTT. Tapi, saya sedar, saya bukanlah seorang naqibah yang baik. Naqibah atau Murabbiah, gelaran masing-masing untuk pemegang satu kumpulan usrah/halaqoh. Tetapi jika dilihat dengan lebih mendalam, layakkah diri digelar Murabbiah? Sedangkan saya bukan pendidik. Saya langsung tidak mampu mendidik. Adik-adik yang diamanahkan pada saya pun umpama anak-anak terbiar tanpa seorang ibu. Contoh yang baik untuk menjadi ikutan? Itu bukan saya. *Malu sendiri* Jadi saya sememangnya belum layak digelar seorang Murabbiah.
Naqibah, seorang pemimpin. Mungkin saya mampu sebagai seorang pemimpin. Tapi sejauh mana kepimpinan saya berjaya membawa mereka yang dipimpin ke jalanNya? Saya sedar, hidayah itu milik Allah. Tetapi kita perlu berusaha, hidayah tidak datang sendiri. Sehebat mana usaha saya? Malunya pada Allah, peluang diberikan seolah-olah disia-siakan begitu sahaja. Halaqoh yang dibentuk hanya pada nama. Tidak menyentuh hati, tidak mendidik hati anggotanya menjadi manusia yang taat pada Allah, beriltizam dengan akhlak Al-Quran mahupun berqudwahkan utusan Allah dalam kehidupan seharian. Saya gagal sebagai seorang ketua. Maafkan hambaMu Ya Allah.
"Sekiranya seseorang itu mendapat hidayah keranamu, itu lebih baik dari dunia dan segala isinya"
Kadangkala saya merasa letih. Letih dengan diri sendiri yang hanya tahu mengeluh sedangkan usaha tidak sehebat mana. Hanya mampu membenci sesuatu yang tidak disukai, namun tidak berusaha mengubahnya dengan berhikmah. Apa yang mampu saya lakukan dengan hanya berdiam? Berdoa dan berdoa dan menunggu? Lalu kelak, apa yang mampu dibicarakan anggota-anggota saya? Bisu dihari pengadilan kerana memang tidak melakukan apa-apa. Atau mungkin kelak tangan ini menjadi pendakwa kerana hanya menulis perkara-perkara yang tidak bermanfaat, menaip sesuatu yang tidak menambahkan iman. Mampukah saya berdepan segala dakwaan itu kelak? Ya Allah, saya hanya hambaMu yang lemah. Tolong diri ini Ya Rabb.
"dan siapakah lagi yang lebih aniaya dari orang yang mengada-ngadakan perkara-perkara yang dusta terhadap Allah,atau yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya." (6:21)
Zalim, tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Saya mengaku faham, mungkin anda juga mengaku faham. Tetapi sekadar faham cukupkah untuk meletakkan diri diluar kelompok orang yang zalim? Diluar kelompok orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keteranganNya? Mengaku faham, tapi masih melakukan perkara-perkara yang tidak diredhaiNya. Bukankah itu turut mendustai ayat-ayat Allah? Terlalu banyak kesilapan, walau sekecil-kecil kelakuan usahlah dipandang remeh. Apa yang terdetik dihati itu sudah memadai untuk menggugat aqidah kita, apatah lagi perbuatan.
Saya Naqibah yang gagal. Sememangnya belum layak digelar seorang Murabbiah. Namun, saya tidak kenal erti putus asa, dengan izinNya. Memperbaiki diri itu satu kemestiaan, selagi hayat dikandung badan. Mengharap kembali kelak sebagai hamba yang tergolong dalam golongan kanan. InsyaAllah. Belum layak tidak bermaksud tidak layak selamanya. Hidup kerana Allah, mati kerana Allah. Berubah juga kerana Mu Ya Allah.
No comments:
Post a Comment